Berita TempatanPaultan

SPYSHOT: Great Wall Ora Good Cat – satu lagi kereta elektrik dari China dilihat diuji di jalan raya Malaysia


Nampaknya banyak jenama China sedang mencuba nasib untuk memasarkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya (EV) mampu milik mereka ke Malaysia – sebelum ini Ho Wah Genting (HWGB) telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan EV yang diberi nama Seiyong S1, dan terbaharu satu lagi EV dari China iaitu Ora Good Cat yang dihasilkan oleh Great Wall Motors (GWM) dilihat sedang diuji di sekitar Elmina, Shah Alam.

Good Cat (yang diterjemah terus dari namanya di China iaitu Haomao) sebenarnya sudah pun masuk ke pasaran ASEAN, telah pun dilancarkan di Thailand Februari lalu. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,235 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,596 mm tinggi serta jarak roda 2,650 mm berdasarkan platform Lemon GWM, yang turut digunakan sebagai asas untuk SUV Haval H6.

Kereta elektrik dengan rupa comel seperti namanya ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 145 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan transmisi kelajuan-tunggal untuk memacu roda hadapan. Dengan rangkaian kuasa berkenaan bersama berat 1,510 kg, Good Cat mampu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam masa 3.8 saat dan kelajuan maksimanya pula dicatatkan pada 150 km/j.

Ia ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti bateri iaitu 47.8 kWj dan juga 59.1 kWj. Bagi versi 47.kWj, ia mampu bergerak sejauh 401 km, manakala dengan bateri 59.1 kWj pula jarak geraknya adalah sejauh 501 km. Menurut GWM, dengan pengecaj AC standard, caj penuh mengambil masa sekitar lapan jam. Manakala dengan pengecaj cepat DC pula, bateri dapat dicaj dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Untuk praktikaliti, kereta elektrik kompak ini menawarkan ruang but dengan kapasiti 228 liter. Tempat duduk belakang Good Cat ini juga boleh dilipat bagi memberikan ruang kargo keseluruhan 858 liter. Ora Good Cat menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Dua saiz rim ditawarkan iaitu 17- dan 18-inci, tetapi ia bergantung pada varian yang anda pilih.

Bagi sistem keselamatan pula, ia hadir dengan pakej Ora Pilot Driving yang terdiri dari cruise control adaptif, kawalan pendikit berautomasi serta intelligent curve assist. Ia juga hadir dengan fungsi yang digelar Wisdom Dodge, membantu pemandu untuk mengelak kenderaan hadapan yang besar berada di lorong sebelah sambil kekal dalam lorong sendiri.

Sistem keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, pengesan titik buta dan amaran pelanggaran belakang. Kereta ini juga menerima satu lagi perincian unik yang digelar Ora Pilot Parking – ia adalah sistem bantuan parkir dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dengan sistem berkenaan, Ora Good Cat ini mampu untuk ‘belajar’ dan mengingati laluan ke tempat parkir yang biasa digunakan oleh pemiliknya menerusi navigasi satelit dan juga radar ultrasonic. Apabila ia dipandu ke “kawasan biasa”, kereta ini akan secara automatik mencari ruang dan parkir dengan sendiri.

Di China, Ora Good Cat dijual pada harga bermula 103,900 yuan (RM65,221) hingga 143,900 yuan (RM90,340). Walaupun kereta tersebut sudah kelihatan di sini, sebenarnya masih lagi belum pasti sama ada ia akan masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.

Walau bagaimanapun, GWM kini sedang melabur dalam jumlah yang besar di Thailand bagi mengembangkan pasaran eksportnya serta menjadi hab EV. Jadi memang ada kemungkinan bahawa Ora Good Cat ini akan diperkenalkan di Malaysia pada masa akan datang.





Informasi terkini di dunia AUTOMOTIF PAULTAN.ORG

Related Articles

Back to top button