Setahun Langkah Sheraton: Sim tekad lawan ‘pengkhianatan’ | ProjekMM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim bertekad untuk terus memperjuangkan nasib Pakatan Harapan (PH) yang kehilangan kuasa sebagai kerajaan hampir setahun lalu. — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mengajak seluruh pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar ‘bangkit’ daripada kejatuhan kerajaan sebelum ini.

Sim yang merupakan bekas timbalan menteri belia dan sukan berkata, pelbagai perkara boleh dipelajari daripada kejatuhan kerajaan PH terutama membabitkan isu pengkhianatan.

Katanya, pengkhianatan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk pemimpin parti berpengalaman dan disanjung ramai.

“Satu perkara pengkhianat ajar kita, orang yang hendak buat jahat tidak kira partinya. Ada dari parti saya sendiri yang khianat. 

“Jadi kita perlu juga insaf. Orang yang hendak buat baik, jangan pandang parti. 

“Semua yang hendak buat baik kita bangkit bersatu pulihkan demokrasi, selamatkan Malaysia,” katanya di media sosial, hari ini.

Hampir setahun lalu, politik negara berdepan krisis dalaman apabila kerajaan PH hilang kekuasaan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

Susulan itu, satu pakatan politik baharu dibentuk menerusi ‘Langkah Sheraton’ melibatkan pimpinan Barisan Nasional, PAS, Bersatu dan serpihan PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi kerjasama politik itu, satu pakatan dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) terbentuk dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai perdana menteri selepas mendapat perkenan Istana Negara.

Terdahulu, Sim mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu mengembalikan semula demokrasi yang didakwa terhakis susulan pembentukan kerajaan PN.

Menganggap dirinya berada bersama pihak yang benar, Sim yakin demokrasi akan kembali bersinar di negara ini suatu masa nanti.

“Tidak guna kita mengenang yang hilang. Tidak guna kita sekadar pasrah. Kita perlu berani dalam pasrah, terus bekerja, terus berfikir, terus berkhidmat, terus berjuang. 

“Dalam sejarah panjang umat manusia, kejahatan tidak akan berjaya selama-lamanya,” katanya lagi.


Berita ProjekMM

Check Also

Kes baharu Covid-19 meningkat, enam pesakit maut, kata KKM | ProjekMM

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam …