‘Saya terharu…’ | Harian Metro


“SAYA terharu dan tidak sangka menerima respon daripadanya selepas memuat naik gambar ibu saudara di Twitter,” kata Mohamad Asraf Nordin.

Mohamad Asraf memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas penyanyi terkenal, Mariah Carey memberi tanda suka, mengulang ciap dan berkongsi ciapan dimuatnya di Twitter bersama kata positif ringkas iaitu ‘hero sebenar’.

Penyanyi itu memberi respon sebegitu selepas Mohamad Asraf memuat naik gambar ibu saudaranya, Rasidah Mohamad, 44, bersama rakan jururawat dengan ucapan penghargaan atas pengorbanan bertugas di barisan hadapan bagi merawat pesakit Covid-19.

Menerusi ciapan sama, Mohamad Asraf tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada penyanyi kegemarannya itu kerana prihatin dengan pengorbanan petugas kesihatan di barisan hadapan.

CIAPAN Mohamad Asraf mendapat perhatian penyanyi terkenal, Mariah Carey. FOTO ihsan MOHAMAD ASRAF NORDIN.

Mohamad Asraf yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat berkata, dia memuat naik ciapan itu pada 1.31 pagi hari ini dan menerima respon daripada Mariah seminit selepas itu.

“Sebenarnya, gambar itu saya dedikasikan untuk ibu saudara yang bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

“Ucapan itu ditujukan kerana kerja kerasnya sebagai salah seorang petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab merawat pesakit Covid-19.

“Tak sangka pula, ciapan itu mendapat perhatian Mariah Carey dan sebagai peminat, tentunya saya berbesar hati menerima respon daripadanya kerana selama ini hanya pernah menghadiri konsert serta mengikuti perkembangannya di laman sosial ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Penuntut Diploma Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn UTHM) itu berkata, meskipun sekadar respon ringkas, ia sudah cukup bermakna buat dirinya yang mengikuti perkembangan penyanyi itu sejak lima tahun lalu.

Katanya, respon itu bukti Mariah menghargai jasa petugas kesihatan termasuk di Malaysia.

“Saya mula meminati dan mengikuti perkembangan Mariah Carey sejak berusia 15 tahun lagi.

“Selain lagu, saya kagum dengan usahanya mendermakan sejumlah wang kepada pertubuhan amal bagi membantu golongan memerlukan ketika ancaman Covid-19.

“Sebagai peminat, usaha itu tentunya memberi inspirasi untuk dicontohi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19




  • Hmetro Online