in ,

“Sakitnya Hanya Allah Yang Tahu, Hanya Terlantar Atas Katil” Pesakit Covid-19 Kongsi Pengalaman Pahit – Pa&Ma


Tengku Amylia mengalami demam pada 8 Mac dan hanya disahkan positif pada 14 Mac setelah menjalani saringan apabila demamnya tidak baik dan mengetahui kontak rapatnya positif pada 12 Mac.

Sitegiant E-commerce

Lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh semasa dijangkiti virus Covid-19, adalah cabaran paling genting buat peneraju sambilan Bernama Radio ini.

Dia berkata, berkat doanya yang tidak putus-putus serta berbekalkan semangat positif dan kata-kata semangat keluarganya, dia bersyukur akhirnya sembuh.

DIPINDAHKAN KE ICU

“Malam pertama dimasukkan ke hospital, saya dipindahkan ke ICU apabila mengalami kesukaran bernafas,” katanya semasa menceritakan pengalamannya dalam program Temu Bual Radio di Bernama Radio yang dikendalikan oleh Raifanabillah Zulkifli.

Beliau yang bersyukur kerana cepat mendapatkan rawatan di hospital berkata: “Sakitnya hanya Allah yang tahu. Selain alat bantuan pernafasan, saya dimasukkan drip (titisan intravena) kerana tidak berselera untuk makan dan minum.

KALAU ADA SIMPTOM JANGAN BERLENGAH

“Saya betul-betul terlantar sakit, tidak ada kekuatan langsung,” katanya dan menasihati orang ramai yang mempunyai simptom Covid-19 untuk tidak berlengah mendapatkan rawatan di hospital kerana hanya di hospital mereka akan dapat rawatan terbaik untuk pulih.

“Alhamdulillah saya sangat berterima kasih dengan petugas di Hospital Sungai Buloh kerana mereka menjaga saya seperti keluarga mereka. Layanan yang diberikan sangat baik sekali,” katanya.

SUDAH 90% SIHAT

Beliau yang sudah 90 peratus sihat berkata, pesakit perlu sentiasa positif dalam apa jua keadaan bagi mengatasi Covid-19 yang boleh membawa maut.

Tengku Amylia turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut atau menyembunyikan sebarang maklumat jika terdapat simptom atau berisiko dijangkiti Covid-19.

“Jangan takut atau sembunyikan apa-apa kerana doktor tahu apa yang perlu mereka lakukan, apa nak buat dan beri pemantauan yang rapi jika kita dijangkiti,” katanya.

Tengku Amylia juga mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang tepat mengenai Covid-19 dan elak membuat spekulasi negatif mengenai pesakit Covid-19.

“Netizen kena faham betul-betul mengenai Covid-19 dan elak menyebar maklumat tidak sahih,” katanya.

SUMBER: BERNAMA, HMETRO



Pa&Ma
Dapatkan majalah Pa & Ma VERSI DIGITAL

Report

Written by Feed - Famili

What do you think?