in ,

Restoran hias 2,000 tanglung rai festival kuih bulan | Cari Makan

Para pelanggan menikmati minum petang di sebuah restoran dim sum di Lebuh Cintra, George Town, Pulau Pinang. — Foto Bernama

GEORGE TOWN, 16 Sept — Ketibaan pengunjung di sebuah restoran dim sum di Lebuh Cintra di sini disambut warna-warni lebih 2,000 tanglung kertas kaca yang dipasang bagi mengingatkan pelanggan tentang kedatangan Festival Kuih Bulan tahun ini.

Tinjauan Bernama di Restoran Tai Tiong mendapati tanglung yang menghiasi ruang dalaman restoran tersebut menampilkan bentuk haiwan dan makhluk mitologi Cina seperti naga timur, burung phoenix dan Qilin, serta watak kartun yang popular seperti Doraemon, Batman dan Elsa daripada filem Frozen.

Pengarah restoran Pang Khek Seng berkata hiasan bermusim yang unik di restoran itu merupakan tradisi yang dilakukan sejak 15 tahun lepas.

Sitegiant E-commerce

Beliau berkata tanglung-tanglung terbabit berharga antara RM12 dan RM45 sementara tanglung edisi terhad yang boleh berpusing sendiri apabila lilin di dalamnya dinyalakan dijual pada harga RM128 seunit.

“Dulu ibu bapa akan membawa anak-anak mereka berkunjung ke sini dan tunjukkan tanglung-tanglung yang berwarna-warni itu serta mengajar anak mereka tentang peranan penting tanglung dalam Festival Kuih Bulan,” katanya.

Pak berkata semua tanglung yang dijual di restoran itu dibuat dan dibekalkan oleh pembuat tanglung tempatan dari kampung-kampung di seluruh Malaysia.

Katanya beliau tetap memilih tanglung tradisional berbanding tanglung moden yang seakan mainan elektronik bagi meraikan festival itu.

“Semakin sukar untuk melihat tanglung tradisional seumpama ini di tempat lain tetapi kita harus mengekalkan tradisi ini yang merupakan warisan budaya yang penting bagi kita,” tambahnya.

Sementara itu seorang pelanggan, Pearly Kee, 63, membawa suaminya Chandra Kumar, 70, untuk membeli tanglung, kuih bulan dan Gong Zai Bing (sejenis biskut berinti) untuk dibawa pulang.

“Tahun ini, kami membeli dua tanglung untuk dua cucu perempuan kami yang masing-masing berusia sembilan dan setahun kerana kami mahu mengajar mereka tentang kebudayaan masyarakat Cina pada usia muda demi mengekalkan tradisi,” katanya yang merupakan pelanggan tetap.

Festival Kuih Bulan, juga dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh, dirai pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar lunar Cina dan tahun ini perayaan itu jatuh pada 1 Oktober. — Bernama

Banyak lagi port makan-makan MELETOP di PROJEKMM.COM CARIMAKAN

Report

Written by Port Meletop

Kami kongsikan "PORT" makan-makan, minum-minum, berita-berita dan yang sewaktu denganya.

What do you think?