Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan cermin keprihatinan PN, kata Mohamed Azmin | ProjekMM

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan pelaksanaan program vaksinasi akan membolehkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6.7 peratus tahun depan. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan merupakan langkah proaktif, tegas dan tuntas kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjaga dan melindungi kesihatan rakyat.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata program imunisasi terbesar dalam sejarah negara itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat selain mampu menjana semula kemakmuran negara.

“Fokus utama program ini untuk melindungi anggota barisan hadapan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan dioptimumkan, melindungi warga berisiko tinggi, membina keimunan kelompok bagi membuka semula semua sektor ekonomi.

“Vaksinasi juga berperanan mengawal wabak di kawasan berisiko tinggi sekali gus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata tidak dapat dinafikan vaksinasi melibatkan sebilangan besar rakyat adalah satu kemestian bagi mempercepat dan memastikan pemulihan ekonomi yang mampan, efektif dan lestari.

Langkah itu akan merancakkan semula usaha dan aktiviti barisan hadapan ekonomi negara memandangkan ekonomi yang aktif didorong oleh badan yang sihat, katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kejayaan pelaksanaan program vaksinasi akan membolehkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6.7 peratus tahun depan seperti yang diunjurkan Bank Dunia.

“Kita yakin usaha ini adalah ‘suntikan booster’ yang akan merangsang pengaliran pelaburan langsung asing ke Malaysia dan memacu pemulihan ekonomi.

“Apabila keimunan kelompok dicapai dan semua sektor ekonomi kembali dibuka, kita dapat mencergaskan semula sektor pelancongan yang menyediakan 3.56 juta pekerjaan, antara sektor penyumbang pekerjaan terbesar negara,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh rakyat supaya mendukung penuh usaha imunisasi nasional dan memastikan kejayaan milik bersama.  —  Bernama


Berita ProjekMM

Check Also

Kes baharu Covid-19 meningkat, enam pesakit maut, kata KKM | ProjekMM

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam …