Pengantin

PCOS, Punca Utama Kemandulan Wanita – Dr. Hamid Arshat


Siapa yang tak mahu mempunyai cahaya mata sebaik berkahwin. Ada yang cepat dapat anak, ada yang perlu menunggu bertahun-tahun untuk mempunyai cahaya mata. Menjadi seorang wanita, kita perlu sentiasa alert dengan kesihatan dalaman terutamanya yang melibatkan rahim.

Singgah di laman Facebook Dr Hamid Arshat, Pakar Ginekologi dan Sakit Puan, dijelaskan mengenai PCOS yang boleh menyebabkan kemandulan.

******************************************************************

Penyakit ini menjadi salah satu punca utama kemandulan…

Mengapa sukar merawat PCOS?

1. Salah satu punca penyakit PCOS adalah cacat baka/genetik – gen yang mengawal hormon subur adalah cacat sejak lahir. Tidak ada rawatan untuk membetulkan kecacatan genetik ini. Kita bergantung pada usaha mengubah faktor-faktor lain sahaja, ini pun banyak bergantung kepada azam dan kesungguhan pesakit PCOS.

2. Kegemukan/obesiti adalah faktor kedua penting dalam kejadian PCOS.

PCOS sering dikaitkan dengan penyakit diabetes dalam keluarga. Begitu juga obesiti dikaitkan dengan diabetes dan baka. Usaha untuk mengurangkan berat badan memang sangat sukar, mudah untuk naik berat badan. Tapi hendak turun memang perlu azam dan ketabahan. Penurunan berat badan merupakan rawatan yang terpenting bagi meningkatkan kesuburan dalam kalangan pesakit PCOS.

Cara-cara yang paling berkesan ialah dengan DIET, iaitu mengurangkan makanan karbohidrat dan gula, dan senaman untuk membakar lebihan gula dan lemak dalam badan. Namun saya dapati dua perkara tersebut amat sukar diamalkan oleh penghidap-penghidap PCOS.

Jika mereka bersungguh-sungguh inginkan zuriat, mereka perlu kuatkan azam dan kecekalan untuk berkerja keras demi mencapai matlamat. Pengalaman saya lebih 40 tahun menunjukkan para penghidap PCOS lebih 90% gagal menurunkan berat badan.

Mereka hanya bergantung kepada ubat-ubat mereka dengan harapan mereka boleh hamil tanpa usaha. Sangat penting sikap ini perlu diubah.

3. Tiada ubat khusus untuk PCOS. Ini kerana ia adalah rangkaian berbagai masalah termasuk, rintangan insulin (insulin resistance), ketidakseimbangan hormon antara FSH/LH, hormon testosteron tinggi, estrogen tinggi, progesteron rendah. Akhirnya sel-sel benih/telur tidak dapat dimatangkan.

Seringkali ubat subur clomid dengan dos tertinggi diperlukan (200-250 mg). Dan jika gagal ubat gonadotrophin secara suntikan diperlukan dan ubat ini sangat mahal harganya, sedangkan kadar kejayaan hanya 30% sahaja.

4. Kegunaan ubat suplemen boleh membantu untuk mengurangkan berat badan, kurangkan rintangan insulin seterusnya mengurangkan gula dalam badan, mengurangkan hormon testosteron. Saya sering beri pesakit ubat adipex, metformin, dan saw palmetto. Perlu diingat, pesakit PCOS tidak boleh bergantung kepada ubat-ubat tersebut terlalu lama, mungkin antara 3-6 bulan sahaja.

5. Saya nasihatkan makan banyak buah-buahan dan sayuran serta ulam-ulam. Makanan yang banyak mengadungi bahan pengawet, perisa dan pemanis perlu dijauhkan termasuk fast food dan junk food. Segala kebaikan seperti vitamin, antioksidan, logam dan lain-lain terkandung dalam buah, sayur dan ulam.

6. Jangan mudah putus asa, teruskan usaha sampai hamil. Perubahan dalam cara gaya hidup sangat penting terutama tabiat makan dan pilihan jenis makanan yang berzat dan berkhasiat. Pilih makanan yang segar/fresh tanpa diproses, tanpa pengawet, perisa dan pemanis. Lakukan gerak tubuh/exercise, mungkin buat jogging 30 minit sehari. Lakukan senaman pernafasan/Yoga untuk relaksasi, hilangkan stres dengan membaca Quran dan berzikir.

7. Cuba buat IUI apabila ada telur matang selepas makan clomid dos tinggi. Ini mungkin boleh menambah peluang untuk hamil. Biasanya jika ada pematangan telur kehamilan akan berlaku secara spontan tanpa memerlukan IUI.

8. Laparoscopic ovarian drilling – iaitu satu kaedah pembedahan untuk menyuburkan ovari. Perlu dilakukan jika tiada pematangan telur walaupun dengan clomid dos tinggi. Rawatan ini dapat menurunkan tahap hormon testosteron yang sering menganggu pematangan telur.

Selepas ovarian drilling amalan pemakanan yang berzat dan berkhasiat amat penting. Ubat subur clomid dos tinggi masih diteruskan selama 3 pusingan haid. Peluang hamil selepas rawatan ini adalah 40-50 %.

9. Bayi tabung uji atau IVF mungkin boleh dicuba sebagai langkah terakhir. Itu pun kalau berjaya merangsang pematangan telur.

InshaAllah 28 Februari 2021 ini jam 2.30 petang, saya akan lapangkan masa untuk menjawab sebanyak mungkin soalan dan berkongsi ilmu kesuburan wanita secara ONLINE.

Kredit: Facebook Dr Hamid Arshat



Pesona Pengantin
Dapatkan majalah Peson Pengantin VERSI DIGITAL

Related Articles

Back to top button