BeritaHarakah Daily

Operasi bersepadu JIM


BAHAGIAN Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya telah mengadakan satu Operasi Bersepadu pada 7 April 2021 dengan menggunakan kekuatan keseluruhan anggota penguatkuasa imigresen seramai 98 dari JIM Putrajaya, JIM Kuala Lumpur dan juga dari JIM Negeri Sembilan dan turut dibantu oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Ops Bersepadu ini telah diselaras oleh Pasukan Tindakan Segera (QRT) dan operasi tersebut telah diketuai oleh Ketua Unit Operasi, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya.

Operasi telah dijalankan di sebuah tapak projek pembinaan yang terletak di Kampung Wira Jaya, Setapak, Kuala Lumpur. Pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan dan maklumat awal yang disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenai penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit atau dokumen yang sah yang membawa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Seramai 329 orang telah diperiksa dan seramai 269 orang telah ditahan semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguatkuasa JIM. Hasil pemeriksaan di lokasi juga mendapati pekerja-pekerja tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta permit dan pas yang sah dan juga terdapat  beberapa pekerja menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sedia ada.Terdapat beberapa sub – kontraktor menggunakan pekerja asing yang mempunyai PLKS dari sektor-sektor yang berbeza dan syarikat berlainan.

Advertisement

Semasa serbuan, salah seorang pekerja warganegara Bangladesh yang sedang bekerja cuba melarikan diri dari anggota serbuan dengan melompat dari tingkat 3 sehingga menyebabkan kakinya patah. Warganegara asing tersebut telah diberi rawatan awal oleh APM dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Kesemua warganegara asing tinggal di rumah kongsi yang telah disediakan di parking lot bangunan tersebut.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Pasukan JTK juga melaporkan terdapat kesalahan di bawah bidang kuasa mereka yang dijumpai di lokasi pemeriksaan antaranya termasuk tempat penginapan pekerja yang telah disediakan. Kesemua tahanan bagi operasi tersebut akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor. Kesemua tahanan akan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) & PKD Seremban 2 untuk menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

JIM amat memandang serius dan akan mengenakan tindakan yang setimpal terhadap pemilik atau majikan yang mengajikan warganegara asing tanpa dokumen dan PLKS yang sah serta dengan sengaja memberi perlindungan pada pekerja asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).  JIM juga menyeru agar orang ramai tampil ke hadapan dan menyalurkan maklumat kepada Imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Ketua Pengarah Imigresen
Malaysia – HARAKAHDAILY 8/4/2021



Sumber berita ini daripada HARAKAH DAILY

JOM SUPPORT HARAKAH!!

Feed-Berita

Feed berita terkini dan muktahir dari sumber-sumber Astro Awani, Malaysiakini, BHarian, Hmetro

Related Articles

Back to top button