in

Muafakat cegah COVID-19 | Muka 10


COVID-19 merebak begitu pantas sehingga mengancam masyarakat dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Memandangkan jumlah kes kian meningkat, sebilangan besar negara yang majoriti penduduknya dijangkiti virus ini, mengumumkan pengisytiharan perintah sekatan pergerakan atau lockdown sebagai usaha drastik mengekang penularan.

Sitegiant E-commerce

Antara yang menghadapi penularan jangkitan dalam kadar kes amat membimbangkan adalah China (81,171), Itali (63,927), Amerika Syarikat (46,168) Iran (24,811), Korea Selatan (9,037), Perancis (19,856), Sepanyol (39,673), Jerman (31,370), United Kingdom (6,650), Belgium (4,269), Kanada (2,091), Australia (2,144), Jepun (829) dan Singapura (558).

Di Itali sebagai contoh, jumlah kes kematian akibat COVID-19 paling tinggi iaitu 6,037 orang. India pula walaupun 519 orang dilapor dijangkiti dengan 10 kematian, mengambil langkah drastik mengisytiharkan perintah lockdown.

Media massa melaporkan rakyat India mematuhi sepenuhnya arahan perintah berkurung dikuatkuasakan, walaupun ada beberapa negeri dalam persekutuan India ditadbir parti pembangkang yang memegang ideologi politik berlainan berbanding dengan parti pemerintah.

Di Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menunjukkan kredibiliti dan ketrampilan beliau sebagai Perdana Menteri, apabila mengambil langkah pencegahan drastik mengekang wabak ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat.

Beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini dan semalam mengumumkan perintah itu dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April depan.

Umumnya, kaedah kuarantin digunakan untuk mengehadkan hubungan atau kontak antara orang disyaki menghidap COVID-19 dengan orang lain, bagi memutuskan rangkaian penularan jangkitan.

Virus ini mudah merebak melalui sentuhan. Selain itu, jika seseorang yang disyaki dijangkiti itu batuk atau bersin, virus juga boleh tersebar dan menyerang organ pernafasan orang yang berada berdekatan.

Langkah paling efektif dan terbukti dapat membendung penularan virus ini adalah dengan memutuskan rangkaian jangkitan dalam kalangan orang awam.

Contoh terbaik pelaksanaan langkah ini seperti dilakukan China yang berjaya mengawal, membendung dan mengurangkan risiko COVID-19 dalam tempoh masa singkat, berikutan langkah penguatkuasaan perintah lockdown.

Penduduk Wuhan, lokasi tercetusnya COVID-19 mematuhi perintah itu dengan tegas. Keadaan ini berbeza di Itali di mana penularan COVID-19 begitu cepat dan meluas sehingga ribuan rakyat menjadi mangsa sehingga kini.

Jumlah kes begitu tinggi akibat sikap sambil lewa dan tidak menepati perintah lockdown secara bersungguh-sungguh oleh rakyat Itali.

Rakyat Malaysia harus sedar dan peka tentang bahayanya virus ini, dengan mengambil iktibar apa yang berlaku di negara luar. PKP harus dipatuhi tanpa kompromi agar penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat dapat diatasi.

Memandangkan badan perubatan dunia masih belum menemukan sebarang vaksin untuk mengatasi virus ini, kaedah paling berkesan buat masa kini untuk membendung penularan atau lebih tepat lagi sebagai rawatan penyakit ini adalah melalui penjarakkan sosial.

Perlu ditegaskan COVID-19 lebih berbahaya berbanding kuman yang menyebabkan tuberkulosis (tibi) ataupun virus yang menyebabkan HIV. Meskipun COVID-19 tidak tersebar melalui udara, ia mudah dijangkiti melalui sentuhan.

Oleh itu, sentuhan perlu dielakkan sama sekali antara pembawa virus dengan individu lain pada setiap masa.

Bagi Malaysia, selain peningkatan kos perubatan, penularan wabak COVID-19 turut memburukkan keadaan ekonomi negara.

Dalam kedudukan ekonomi negara yang agak merunsingkan, kerajaan terpaksa membelanjakan RM600 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan perubatan di hospital dengan kadar segera untuk menangani COVID-19.

Kerajaan juga mengumumkan pelbagai inisiatif, termasuk penyaluran peruntukan RM130 juta kepada setiap negeri untuk mengurangkan beban rakyat, terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dalam menghadapi ancaman wabak itu.

Bagi mengelak impak ini berpanjangan, rakyat perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk membendung COVID-19 bersama kerajaan.

Kaedah paling efektif dan selamat untuk mengekang COVID-19 adalah dengan menyelamatkan diri dan keluarga melalui pematuhan terhadap PKP.

Ingatlah saranan Perdana Menteri ketika mengumumkan PKP supaya semua rakyat duduk di rumah, atau mungkin tempoh penguatkuasaan perintah itu dilanjutkan lagi untuk tempoh lebih lama.

Semakin cepat ia dicegah, maka cepatlah PKP tamat. Jom kita bermuafakat bersama kerajaan mencegah COVID-19 sebelum terlambat.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Sosio Ekonomi

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Bharian Online

    Report

    Written by Feed-Berita

    Feed berita terkini dan muktahir dari sumber-sumber Astro Awani, Malaysiakini, BHarian, Hmetro

    What do you think?