in ,

Covid-19: Anwar gesa nilai menteri, timbalan ‘hilang dari radar’ | ProjekMM


Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prestasi menteri, timbalan menteri Perikatan Nasional dinilai sepanjang mengendalikan krisis pandemik Covid-19. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 3 April ― Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya sidang parlimen khas untuk menilai prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk menteri dan timbalan menteri.

Presiden PKR itu berkata ada kalangan barisan kabinet yang tidak muncul, malah membisu ketika krisis pandemik Covid-19, sehingga menimbulkan persoalan tentang kredibiliti mereka memegang portfolio masing-masing.

Sitegiant E-commerce

“Jika kita mahu harap pada jemaah kabinet sahaja, tidak cukup untuk mengendalikan situasi sekarang. Saya juga sedih membaca laporan berita kita menjadi bahan ketawa dunia,” katanya dalam siaran langsung di Facebook semalam.

“Menteri yang satu dengan Doraemon, lagi seorang dengan tanda ‘Menteri’ di kepala. Apa semua ini? Kemudian ada cadangan minum air suam.”

Beliau merujuk isu yang ditimbulkan Menteri Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Kita perlu fokus isu kerja dan perkhidmatan. Sebab itu perlu ada sidang parlimen khas. Mereka ini takut dipersoalkan,” tambahnya.

“70 menteri, 70 menteri! Ada kalangan menteri, timbalan menteri tak pernah kita dengar mereka bersuara. Mereka hanya ambil gaji, elaun dan ada pejabat cantik.”

Anwar semalam memberi jaminan Pakatan Harapan tidak akan membangkitkan isu politik semasa sidang parlimen khas untuk membincangkan pakej rangsangan Prihatin.

Antaranya isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pakej sebesar RM250 bilion yang diumum minggu lalu adalah munasabah tetapi perlu dibentangkan di parlimen.

Muhyiddin pada 27 Mac lalu mengumumkan bantuan ekonomi untuk rakyat Malaysia menghadapi musim wabak Covid-19.

Namun pembangkang melihat pakej itu tidak mencukupi, dan menggesa sidang parlimen khas bagi membuktikan dakwaan mereka.



Berita ProjekMM

Report

Written by Feed-Berita

Feed berita terkini dan muktahir dari sumber-sumber Astro Awani, Malaysiakini, BHarian, Hmetro

What do you think?