in

Berkahwin Lain Semata-mata Inginkan Pewaris, Ini Bukan Cara Hukum Isteri – Mingguan Wanita


Tidak semua pasangan yang berkahwin akan dapat merasai nikmat cahaya mata. Ada sampai berbelas-belas atau mungkin berpuluh tahun untuk memperolehinya. Sabar dan usaha. Namun, jika ditakdirkan bukan rezeki pasangan, masih ada cara lain untuk mendapakan zuriat, walaupun bukan dari benih dan rahim isteri.

Bagaiamana dengan suami jenis yang tidak sabar dan mencari pelbagai alasan. Malah, dengan mudah mengambil jalan singkat untuk berkahwin lain. Janganlah cepat menghukum isteri dengan keadaan ini.

Sitegiant E-commerce

Ada solusi yang boleh dilakukan dan tidak hanya mencari alasan untuk berpoligami. Mengupas lebih lanjut tentang perkara ini, Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) ada jawapannya.

“Dalam Islam, ada kebenaran dianjurkan dalam hukum poligami, antaranya apabila situasi isteri tidak dapat melahirkan zuriat. Ini diseimbangkan dengan hukum yang membenarkan fasakh oleh isteri, jika kes situasi suami yang tidak berupaya menghasilkan benih zuriat, atau pun berpenyakit.

“Hukum sebegini adalah panduan dan menjadi solusi apabila timbul situasi begini, ia bukanlah berbentuk hukuman yang wajib dikenakan kepada suami atau isteri. Ada pelbagai cara penyelesaian lain seperti ikhtiar kaedah IVF, menjadikan anak susuan atau anak angkat bagi menggantikan zuriat kita dan sebagainya.

Rasa Bosan

Tidak dinafikan, kadang kala wujud rasa bosan antara suami isteri yang tiada sebarang perubahan dan pertambahan dalam keluarga, berbanding dengan pasangan lain yang riuh di kelilingi tawa anak-anak.

“Jika memerlukan poligami untuk menyelesaikan masalah tiada zuriat, biarlah ia berbentuk keputusan bersama dan untuk penyelesaian. Begitu juga sebaliknya, jika masalah ini disebabkan oleh suami, biarlah fasakh juga dijadikan sebagai penyelesaian dan bukannya alasan yang macam-macam.

Tidak semua alasan zuriat menyebabkan lelaki itu ingin berpoligami. Antara lain:

  1. Isteri mandil, isteri sakit dan tidak mampu menunaikan tuntutan hubungan batin.
  2. Isteri kurang upaya yang mengganggu hubungan suami isteri.
  3. Alasan psikologi pula, dingin dalam hubungan intim, perangai menyakitkan hati sepanjang masa.
  4. Isteri ‘queen control’, sombong dan suka menghina suami.

Selamatkah Rumah Tangga?

Mungkin ya, mungkin tidak. Ada poligami menjadi penyelamat dan menambahkan kebahagiaan keluarga.

Namun menurut fitrah manusia, biasanya ia sukar diterima oleh isteri untuk bermadu dan sukar untuk suami berlaku adil dalam membahagiakan kedua-duannya.

Wahai Suami!

Anda sebagai ketua rumah tangga, bertindaklah dengan bijak, berhemah dan berhikmah. Buat pemeriksaan dan cari punca masalah sebenar. Terimalah hakikat dan kelemahan kita. Lakuakan rawatan atau cari penyelesaian yang mungkin boleh menggembirakan hati bersama.

Tip

  1. Nikah adalah ikatan dan memerlukan banyak pengorbanan dalam hidup bersama.
  2. Pujuk diri untuk reda dalam menerima kelebihan dan kelemahan diri dan pasangan kita.
  3. Fokus untuk selesaikan masalah yang berlaku, jangan campur aduk dengan perasaan negatif lain. Contohnya, jika isteri menghidap penyakit yang tidak membolehkannya melahirkan zuriat, kita perlulah mencari solusi untuk pulihkan penyakit itu dulu.
  4. Beri perhatian untuk aktiviti lain yang menggembirakan tanpa perlu kepada kewujudan anak-anak. Selagi pasangan kita terisi dengan kegembiraan, lebih mudah untuk merawat kesedihan yang dihidapi.
  5. Usaha yg dibuat perlulah diiringi dengan doa yang tulus ikhlas dan khusyuk, sinergikan doa bersama suami isteri, moga lebih mudah termakbul.

 



Mingguan Wanita – Dapatkan majalah Mingguan Wanita di kedai-kedai berhampiran.

Report

Written by Feed-Info

What do you think?