Murai

Ara Johari Kembali Setelah Hampir Setahun Menyepi



Penyanyi genit bersuara lantang, yang juga merupakan Naib Juara AJL Ke-32, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih terkenal dengan nama pentasnya, Ara Johari, kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Tetap Aku Cinta’ setelah hampir setahun menyepi.
Bukan Menghilang

Menurut Ara, dia sebenarnya bukanlah menghilang terus dari industri sebaliknya sedang mencari bahan untuk single terbaharu selain sibuk dengan perniagaannya.
“Ara sebenarnya tak menghilang dan masih lagi aktif menyanyi, cuma mengambil masa mengumpul material yang sesuai untuk single yang seterusnya, dan pada masa yang sama sedang sibuk menguruskan perniagaan makanan yang baru dijalankan pada bulan Disember tahun lalu”
“Alhamdulillah kini Ara bersedia membuat comeback dengan single terbaru yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan,” katanya dalam kenyataan media
Kongsi Ara, Tetap Aku Cinta yang bergenre balada rock moden dicipta oleh komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment. Lagu ini juga menceritakan tentang cinta terhadap seseorang yang dikasihi.
“Ia mengisahkan tentang seseorang yang menghargai cinta terhadap kekasihnya dengan menyerahkan sisa-sisa hidupnya bersama, walau pelbagai rintangan yang datang, namun dia tetap setia sehingga ke akhirnya”
“Lagu ini sememangnya diberikan khusus kepada Ara oleh Amy dan Furhan sendiri, manakala idea bagi susunan muzik pula datangnya daripada Ara sendiri kerana mahukan sesuatu yang berbeza, dan ini merupakan kolaborasi kedua bersama mereka selepas Racun Hati,” jelas anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini.
Dedahnya lagi, proses rakaman single Tetap Aku Cinta telah dilakukan di Studio MFMF sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diwartakan oleh kerajaan.
“Nasib baik lagu ini sempat dirakamkan sebelum PKP 2.0, namun begitu video muzik (MV) tak dapat disempurnakan lagi dan kami hanya mampu menghasilkan lirik video buat masa sekarang, In Shaa Allah, MV yang penuh bakal menyusul tak lama lagi,” jelasnya.
Akui Berdepan Cabaran 

Sebagai anak seni yang baru beberapa tahun menapakkan kaki ke dalam industri muzik tanah air, Ara akui berdepan dengan cabaran dan jangkaan daripada masyarakat umum.
“Cabaran terbesar sepanjang bergelar anak seni adalah lagu yang bakal dikeluarkan kerana ia penting untuk menarik minat orang untuk mendengarnya, Ara takut kalau-kalau ada yang tak memuaskan hati pendengar, yalah kita tak dapat memuaskan halwa telinga semua orang”
“Pandangan umum juga berbeza, kalau dulu sebelum bergelar penyanyi tak siapa yang kenal, kini setiap gerak-geri kita diperhatikan, kadangkala tingkah laku kita disalahertikan dan menjadi buah mulut orang, namun Ara percaya jika kita jujur dalam melakukan sesuatu, ia pasti berhasil,”
“Semoga lagu ini berjaya menarik minat pendengar di luar sana dan mengubati kerinduan peminat semua, dan diharapkan banyak perkara positif yang datang dalam lagu ini.” katanya lagi
Lagu ‘Tetap Aku Cinta’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network



Murai

Feed-Blog

Feed daripada blog-blog terbaik kami kongsikan buat tatapan anda semua.

Related Articles

Back to top button