in ,

75 jemaah tabligh belum serah diri, polis cari sampai “lubang cacing” | ProjekMM


Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay (kiri) berkata polis menyeru mereka membuat pemeriksaan saringan kesihatan di klinik dan hospital berdekatan secepat mungkin. — Foto oleh Ben Tan

JOHOR BARU, 23 Mac — Terdapat 75 individu dari negeri ini yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, masih belum “menyerah diri’ bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata jumlah ini turut melibatkan 29 orang warga Bangladesh, 10 Rohingya dan lapan Thailand. 

Sitegiant E-commerce

Beliau berkata mereka merupakan sebahagian daripada 1,450 jemaah tabligh dari Johor yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut (1,450 orang), 1,375 telah dikesan serta menjalani saringan kesihatan dengan 1,346 orang didapati negatif manakala 29 positif, satu maut dan satu kritikal,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke lokasi OP Covid-19 di Jalan Tampoi Lama, di sini, hari ini.

Katanya, sehubungan itu, polis menyeru mereka yang belum berbuat demikian agar membuat pemeriksaan saringan kesihatan di klinik dan hospital berdekatan secepat mungkin.

“Saya nak tegaskan bahawa kita akan cari mereka ini sampai ke lubang cacing. Jadi sekarang, eloklah mereka serah diri, buat saringan kesihatan,” katanya. — Bernama



Berita ProjekMM

Report

Written by Feed-Berita

Feed berita terkini dan muktahir dari sumber-sumber Astro Awani, Malaysiakini, BHarian, Hmetro

What do you think?